Pages

- Profail Blogger -

My photo
Banting, Selangor, Malaysia
Dimulakan dengan Bismillah, Disudahi dengan Alhamdullilah, Begitula sehari dalam hidup kita, Mudah-mudahan dirahmati Allah SWT

Wednesday 20 June 2012


Was-Was Dan Risau

Setiap orang pasti pernah berasa was-was dan risau. Dua perkara ini cukup menganggu diri kita apabila kita berada di dalam keadaan tersebut. Ia mampu menjadi masalah kepada sesetengah orang sehinggakan ia digolongkan sebagai penyakit iaitu penyakit was-was dan risau.

Penyakit ini seringkali menyerang kita di dalam keadaan yang mendesak seperti menduduki peperiksaan, interview, meninggalkan harta benda, membawa wang atau barang kemas, berjumpa dengan seseorang dan sebagainya. Kadang kala penyakit ini benar-benar mengganggu kehidupan seseorang.

Lebih kronik apabila penyakit was-was dan risau ini melanda kita ketika beribadah. Was-was dengan solat, dengan haji dengan pelbagai ibadah lagi.

Mengapa Was-was dan Risau?
 
Was-was dan risau berlaku kerana tidak yakin. Keyakinan kita kepada sesuatu yang baik atau positif amat lemah sehinggakan kita hanya memikirkan perkara yang negatif yang akan berlaku terhadap diri kita. Fikiran negatif ini terus bermain di fikiran dan ditambah lagi dengan hasutan syaitan menyebabkan rasa was-was dan risau ini benar-benar mengganggu dan menyakitkan kita.

Di dalam artikel saya Realiti Sebenar Dan Realiti Fikiran ada menerangkan bahawa kita berfikir lebih 50 ribu fikiran setiap hari. Di dalam 50 ribu fikiran yang kita jana itu, 80% daripadanya adalah negatif. Maka apakah caranya untuk memastikan kita dapat mengurangkan fikiran negatif ini?

Bagaimana Otak Bekerja?
 
Apabila kita berfikir, satu sambungan neuron akan terhasil di dalam otak kita. Bukannya neuron bersambung dahulu barulah kita mampu berfikir. Sambungan neuron ini merupakan simpanan informasi yang kita fikirkan.
Neuron ini bersifat elastik di mana ia boleh mengecut semula atau sambungan tadi terputus semula apabila kita tidak memikirkan lagi hal itu. Jika ia terputus, kita akan menjadi lupa kerana sambungan neuron yang menyimpan informasi terputus. Jika kita memikirkan perkara yang sama berulang kali, sambungan ini akan menjadi kuat. Maka jangkamasa ingatan kita akan bertahan lama. Kerana itu untuk mengingati sesuatu, kita perlu kerapkali mengulangi perkara yang sama.

Ia boleh dianalogikan seperti denai yang ada di tengah padang rumput. Jika kita lalu di padang rumput tersebut setiap hari, pasti akan terhasil satu denai. Jika kita tidak lagi melaluinya, maka rumput akan kembali tumbuh dan denai akan hilang semula.

Kembali kepada fikiran yang negatif tadi. Setiap hari kita menghasilkan sebanyak 80% fikiran negatif atau dengan lama lain, sebanyak 80% sambungan neuron terhasil di dalam otak kita merupakan sambungan yang negatif. Bayangkan jika kita dikatakan mula berfikir dengan baik seusia 5 tahun. Berapakah sambungan neuron negatif yang terdapat di otak kita sekarang ini?

Katakan umur saudara 30 tahun. Bermakna saudara menghasilkan (80% x 50 ribu fikiran setiap hari x (30 tahun  -  5 tahun belum mampu berfikir dengan baik) x 365 hari) = 365 juta sambungan neuron negatif. Bagaimana jika umur saudara sekarang 40, 50 60?

Penyelesaian
 
Adakah semua ini mampu diselesaikan dengan hanya memaksa berfikir positif? Memang benar kita perlu menghilangkan rasa was-was dan risau dengan fikiran yang positif. Tetapi apakah fikiran positif mampu terjana dengan begitu mudah seperti yang selalu diperkatakan…fikirlah positif!! atau KITA MESTI BERFIKIR POSITIF!!.

Adakah ia mudah seperti kata-kata itu untuk kita janakan fikiran positif dengan begitu sahaja?
Sebenarnya kita perlu memahami cara bagaimana mahu menjanakan fikiran positif agar ia menjadi dominan di dalam fikiran kita. Namun bagaimana mampu kita lakukan sedangkan 80% daripada 50 ribu fikiran yang kita janakan setiap hari merupakan fikiran negatif?

Saudara,
Fikiran positif yang kuat hanya dapat dijanakan dengan JIWA YANG POSITIF. Jika kita cuba berfikir positif, jiwa tidak pasti lagi positif. Was-was dan risau ini soal jiwa. Ia merupakan ilham fujur yang datangnya daripada Allah SWT. Ilham was-was dan risau ini menyebabkan otak berfikir negatif dan emosi menjadi risau.

Maka satu-satunya jalan penyelesaiannya bukan bermula di otak seperti pakar-pakar minda war-warkan. Ia mesti diselesaikan daripada jiwa. Jiwa yang positif adalah jiwa yang berjaya mengawal fikiran dan emosi.

Saudara,
PERKARA ASAS yang perlu difahami adalah soal keyakinan bukan soal fikiran. Soal was-was dan risau bukan soal fikiran dan emosi walaupun was-was dan risau itu merupakan fikiran dan emosi negatif. Ia adalah soal jiwa. Soal ilham fujur yang diberikan oleh Allah SWT.

Penyelesaiannya adalah bagaimana memiliki ilham taqwa iaitu keyakinan pada Allah SWT. Jika kita yakin sesuatu yang berlaku adalah atas izin dan kehendak Allah SWT ke atas apa yang kita mohon dan pilih, maka apakah penyakit was-was dan risau ini akan terjadi lagi?

Nah! sekarang ini kita mula memahami dan tahu jalan penyelesaian untuk menghilangkan penyakit was-was dan risau adalah meningkatkan keyakinan kepada Allah SWT. Keyakinan bukan sekadar yakin tiada Tuhan melainkan Allah SWT tetapi sangat-sangat yakin setiap apa yang bergerak di muka bumi ini adalah di bawah penguasaan Allah SWT.

Semua benda di dalam dunia ini bergerak. Tidak ada satu pun yang tidak bergerak. Jika kita lihat pada sebuah tembok batu, apakah ia tidak bergerak? Ia bergerak. Kita belajar subjek sains di sekolah rendah dahulu bahawa semua benda di dunia ini terbahagi kepada 3 iaitu pepejal, cecair dan gas. Semuanya bergerak walaupun pepejal di mana atomnya hanya bergetar. Bukankan bergetar itu bergerak?
Kerana itu Islam itu adalah agama yang aktif. Semuanya bergerak. Ia digerakkan oleh Yang Maha Menggerakkan iaitu Allah SWT.

Positifkan Jiwa
 
fuadlatip.com cukup banyak menyarankan untuk berkomunikasi dengan Allah SWT. Ia terbukti sangat berkesan di dalam meningkatkan kesedaran kita kepada Allah SWT. Mereka yang mengamalkannya mula merasai dan menyedari dengan baik rasa ihsan yang seringkali dibincangkan.

Apabila kita berkomunikasi, perasaan dan kesedaran kita bahawa Allah SWT sangat dekat dengan kita benar-benar dirasai. Perasaan cinta pada Allah SWT benar-benar terasa kerana kita tidak lagi bergantung kepada yang lain selain Allah SWT.

Saudara,
Mari kita lihat semula bagaimana otak kita bekerja seperti yang saya bincangkan di atas. Apabila kita memikirkan satu perkara, maka satu sambungan neuron akan terbentuk. Samada positif atau negatif, ia bergantung kepada perkara apa yang kita fikirkan. Ia amat mustahil untuk menukarkan 80% fikiran negatif kepada fikiran positif.

Apa yang kita mampu lakukan adalah memasukkan bersama fikiran negatif tadi dengan kesedaran kepada Allah SWT. Maka informasi di dalam sambungan neuron kita tadi bukan sekadar ada fikiran negatif tetapi terdapat kesedaran kita kepada Allah SWT.

Sebagai contoh, saya berfikir yang saya tidak mampu lulus di dalam peperiksaan. Jika saya berkomunikasi dengan Allah SWT dengan fikiran negatif itu seperti, “ya Allah, mampu ke aku nak lulus exam ni ya Allah”, saya telah masukkan bersama informasi kesedaran kepada Allah SWT.

Apabila kesedaran kepada Allah SWT dimasukkan bersama perkara yang negatif, maka secara mudah kesedaran kepada Allah SWT yang ada bersama fikiran negatif itu akan mengaktifkan informasi positif iaitu yakin terhadap Allah SWT. Fikiran negatif saya mampu dipulihkan dengan pengaktifan fikiran positif keyakinan kepada Allah SWT di mana saya yakin “bukan saya yang melempar tetapi Allah SWT yang melempar”.

Namun sudah pasti syaratnya saya juga perlu belajar sebelum menduduki peperiksaan. Namun rasa was-was dan risau pasti akan hilang apabila yakin dengan kekuasaan Allah SWT yang mana saya pasti dapat menjawabnya dengan baik.
Jika tidak belajar, perasaan was-was dan risau ini juga pasti tiada kerana sudah tentu mereka yang tidak belajar sangat yakin yang mereka tidak lulus. [senyum].

Begitu juga dengan was-was dan risau pintu rumah atau kereta sudah dikunci atau belum. Untuk menghilangkan rasa  was-was dan risau dalam hal sebegitu, latihlah agar sentiasa melakukan semua perkara itu di dalam keadaan sedar.

Meningkatkan Kesedaran Tertinggi Untuk Yakin
 
Untuk menghilangkan rasa was-was dan risau kita sebenarnya perlu menyimpan sebanyak mungkin rasa positif iaitu yakin kepada Allah SWT. Kita perlu berlatih untuk memiliki kesedaran tertinggi. Kita perlu meningkatkan keyakinan sedikit demi sedikit seperti mana saya tuliskan di dalam artikel Meningkatkan Keyakinan Kepada Allah SWT dan Surah Al-Anfal (8:17).

Surah Al-Anfal dibaca agar kita memiliki keyakinan yang tinggi kepada Allah SWT dan berserah kepadaNya.

BUKANNYA sebuah jampi yang dibaca agar apa yang kita hajati dimakbul oleh Allah SWT.

Surah tersebut jelas menunjukkan bahawa apa yang kita usahakan, lakukan bukanlah sebenarnya usaha kita tetapi adalah gerakan dan usaha Allah SWT mewakilkan diri kita di dalam menjayakan apa yang kita kehendaki.

Makanya dengan memiliki kesedaran tertinggi, kita mampu menghilangkan rasa was-was dan risau kerana kita yakin semua yang berlaku dan akan berlaku adalah di bawah kuasa Allah SWT.

Jika kita atau anak-anak mengambil peperiksaan, kita tidak perlu risau kerana jika Allah SWT mengkehendaki mereka lulus dengan baik, tidak siapa yang mampu menghalang termasuk guru-guru yang menyemak jawapan anak-anak kita. Yang penting mesti bersedia.

Jika kita was-was dengan ibadah kita, kita hanya berserah kepada Allah SWT untuk menerima ibadah kita. Yang penting kita lakukan sahaja yang terbaik kerana soal terima atau tidak, ia di luar kekuasaan kita. Ia di bawah kekuasaan Allah SWT. Namun kita yakin bahawa apa yang kita minta pasti akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Was-was dan risau di dalam ibadah mampu menjerumuskan kita kepada ketidakyakinan kita pada Allah SWT. Apakah hukumnya jika kita tidak yakin dengan Allah SWT? Apakah tahap iman kita jika kita tidak yakin dengan Allah SWT.

Ia mampu diubati dengan berlatih meningkatkan keyakinan kepada Allah SWT.

Tingkatkan yakin kita dengan memohon kepada Allah SWT. Latihlah agar kita melihat perkara-perkara yang kecil dengan kesedaran yang tertinggi seperti yang dijelaskan di dalam artikel Meningkatkan Keyakinan Kepada Allah SWT. Maka pastinya informasi keyakinan akan disimpan di dalam otak kita dan mudah untuk kita aktifkannya dengan berkomunikasi dengan Allah SWT di dalam apa jua kita fikirkan.

Penutup
 
Cukup dahulu sekadar ini. Akan saya jelaskan nanti bagaimana kesedaran terhadap ayat kursi juga mampu meningkatkan keyakinan kita di dalam menghapuskan penyakit was-was dan risau ini. Semoga ada manafaatnya.

No comments:

Post a Comment

Followers